My Add

Friday 8 March 2013

MB didesak batal projek perumahan untuk pekerja asing

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digesa membatalkan projek perumahan seluas 2.8 hektar melibatkan 1,500 unit pangsapuri yang bakal menampung 10,000 pekerja asing di SS8/6 Petaling Jaya.

Projek tersebut yang baru dimulakan minggu lalu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan di atas tanah seluas lapan hektar yang meliputi pembinaan pejabat, lot perniagaan, kondominium dan rumah pekerja asing terbabit.

Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku, Kelvin Chong, sepatutnya di atas tanah tersebut didirikan rumah mampu milik untuk rakyat tempatan yang harus diutamakan oleh kerajaan negeri.

"Tanah kawasan tersebut merupakan kawasan emas yang bernilai RM300 juta, jika rumah pekerja asing didirikan siapa akan membeli projek komersial lain yang turut didirikan di kawasan tersebut.

"Kesemua 10,000 pekerja tersebut adalah pekerja kilang Western Digital yang dipindahkan dari Bandar Sungei Way ke SS 8, Petaling Jaya dan ini memberi kesan ekonomi kepada peniaga dan penduduk di Sungei Way yang telah mengubah suai rumah mereka yang disewa seperti sebuah asrama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat bantahan penduduk Sungei Way kepada wakil Abdul Khalid di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di sini hari ini.

Kelvin berkata, sebaik-baiknya kerajaan negeri mengutamakan kaum Tionghua untuk memiliki rumah mampu milik di kawasan tersebut kerana golongan tersebut lebih cenderung duduk di bandar.

"Sebaik-baiknya pekerja asing tersebut tinggal di Bukit Beruntung atau Lembah Subang dan perkhidmatan bas percuma perlu diberikan kepada mereka untuk berulang-alik ke tempat kerja.

"Pada masa sama, kerajaan negeri perlu membela nasib rakyat Selangor dengan lebih baik lagi dan bukannya menjaga kebajikan pekerja asing hingga rakyat sendiri terpinggir," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment