My Add

Tuesday 26 March 2013

MCA minta bank perketat syarat pohon kad kredit

ALOR SETAR, ISNIN 25 Mac, 2013: MCA meminta institusi perbankan di negara ini memperketatkan syarat permohonan kad kredit bagi mengelak penipuan oleh individu yang memohon menggunakan identiti orang lain.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, MCA Kedah menerima banyak aduan daripada masyarakat mendakwa mereka menanggung hutang kad kredit sedangkan mereka tidak memiliki kad kredit yang dimaksudkan.

"Institusi bank wajar lebih waspada dan mengkaji semula syarat meluluskan permohonan kad kredit bagi mengelak perkara sebegini," kata Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu dikunjungi seorang suri rumah, Chan Ah Khim, 33, yang meminta bantuan selepas diburu sebuah bank bagi menyelesaikan hutang kad kredit yang tidak pernah dimilikinya.

Bercakap kepada pemberita, Chan berkata, beliau percaya identitinya disalah guna seorang lelaki yang ditemuinya pada 2010 bagi memohon pinjaman perniagaan.

"Dia (lelaki itu) meminta saya menyerahkan 10 salinan kad pengenalan, salinan sijil daftar perniagaan dan penyata bank. Mulai 2011 saya mula menerima surat bank meminta saya menjelaskan penggunaan kad kredit berjumlah lebih RM5,200," katanya.

Menurutnya, tindakan beliau tidak menjelaskan bayaran itu menyebabkan bank berkenaan menghantar surat saman awal tahun ini.

Chan berkata, beliau berusaha menyelesaikan isu itu dengan lelaki berkenaan namun gagal, menyebabkan beliau membuat laporan polis Khamis lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment