My Add

Wednesday 27 March 2013

Najib rasmi LIMA 2013, kesal pencerobohan pengganas di Sabah

LANGKAWI, SELASA, 26 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan satu daripada pameran pertahanan terkemuka dunia dan menyatakan rasa kesalnya bahawa beliau terpaksa melakukannya di bawah mendung suasana pencerobohan pengganas di Sabah.

"Ini pertama kali pasukan keselamatan dikerah bertugas di bumi Malaysia sendiri sejak 1989," katanya semasa merasmikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2013) di sini.

Tahun 1989 menyaksikan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia lantas menamatkan ancaman pengganas komunis di negara ini.

Berkongsi rasa dengan para perwakilan dan pegawai tentera negara ini dan luar negara di LIMA 2013, Najib berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai menteri pertahanan, sebagai timbalan perdana menteri dan kini perdana menteri dan telah berucap pada pameran ini dan yang serupa dengannya, tetapi ini pertama kali beliau menyampaikan ucapan sebegini ketika negara menghadapi ancaman pengganas Sulu di Sabah.

Sejak enam minggu lalu insiden itu telah menjadi ancaman keselamatan terbesar negara sejak berakhirnya pemberontakan komunis, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment