My Add

Wednesday 27 March 2013

Polis kesan individu salur wang kepada pengganas di Jolo

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
LAHAD DATU, SELASA, 26 Mac, 22013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa individu di Semporna dan Sandakan, Sabah yang telah mengirim sejumlah wang bagi membantu membiayai kumpulan pengganas di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kegiatan individu yang disifatkan sebagai pengkhianat negara itu sedang dipantau rapi dan penangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya nanti.

Tegas beliau, mereka boleh didakwa mengikut Akta Keselamatan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) 2012 (SOSMA) kerana mengkhianati dan mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori boleh dikenakan walaupun mereka menyalurkan duit dalam jumlah yang kecil.

"Saya nasihatkan mana-mana individu terlibat supaya menghentikan segera kerana tindakan itu merupakan pengkhianatan kepada negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata, seorang pengganas Kiram yang menyerah diri di Tanjung Batu pukul 5 petang semalam dalam keadaan amat lemah, dipercayai kerana tidak makan dan tidak tidur dengan cukup sejak 15 hari lalu.

"Pihak keselamatan negara berharap saki-baki kumpulan pengganas Kiram yang masih ada menyerah diri," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 42 daripada 116 orang yang ditahan di bawah SOSMA telah dibebaskan manakala 29 daripada 40 mayat telah dikebumikan di beberapa buah lokasi rahsia di negeri ini.

"Jumlah pengganas yang ditembak mati masih kekal seramai 67 orang," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kira-kira 20 ketua keluarga termasuk Ketua Anak Negeri, Assaffal @ Samsul Kamal Panglima Alian dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dibawa masuk ke Kampung Tanduo.

Menurutnya, mereka diberi peluang melihat keadaan rumah masing-masing yang terlibat dengan operasi pasukan keselamatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment