My Add

Sunday 17 March 2013

Pas setuju RCI ditubuh siasat dalang pencerobohan Sabah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
ALOR SETAR, SABTU, 16 Mac, 2013: Pas bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dalang atau penglibatan 'pihak ketiga' di sebalik insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, bidang siasatan jawatankuasa RCI itu perlu diperluaskan pada punca kejadian dan bukan tertumpu pembabitan pihak ketiga sahaja.

''Pas sedia sokong asalkan jawatankuasa itu adalah suruhanjaya diraja," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Star Walk di sini hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, RCI boleh ditubuhkan dan langkah itu membuktikan kerajaan mengamalkan prinsip terbuka selari dengan kehendak rakyat untuk mengetahui kejadian sebenar insiden tersebut melalui bukti-bukti yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

Sebelum ini Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali juga mendesak supaya kerajaan segera menubuhkan RCI sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengenal pasti dalang pencerobohan tersebut, selain penting bagi mengelakkan insiden itu daripada terus dipolitikkan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, jawatankuasa RCI berkenaan perlu dianggotai oleh individu berwibawa dalam kalangan bekas hakim dan pegawai kerajaan termasuk bekas pegawai polis dan tentera.

Katanya, antara nama yang boleh dipertimbangkan ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

"Bekas hakim dan orang Kementerian Dalam Negeri juga boleh berada dalam jawatankuasa itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment