My Add

Wednesday 20 March 2013

Pekerja, kedutaan asing diberi penjelasan tangguh gaji minimum

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah memberi penjelasan kepada pekerja dan kedutaan asing mengenai penangguhan pelaksanaan gaji minimum oleh majikan tertentu, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, beberapa isu seperti tunjuk perasan dan tidak puas hati timbul kerana pekerja asing tidak memahami situasi majikan mereka yang diberi kebenaran penangguhan.

Katanya, kebenaran penangguhan diberikan kepada majikan selepas mengambil kira kedudukan kewangan syarikat yang didapati mengalami kerugian untuk tempoh dua hingga tiga tahun.

"Pada pandangan mereka (pekerja asing), majikan sepatutnya membayar gaji minimum mereka. Selepas diberi penerangan secara jelas, mereka kini faham," katanya kepada Bernama, mengulas insiden lebih 5,000 pekerja asing Nepal merancang mengadakan tunjuk perasaan di Muar pada Ahad lalu.

Subramaniam berkata, beberapa pegawai Jabatan Tenaga Kerja dari seluruh negara diarah memberi penjelasan kepada para pekerja terutamanya warga asing mengenai penangguhan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai gaji minimum bagi sektor swasta pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai tahun lepas.

Perintah gaji minimum berkuat kuasa pada 1 Januari 2013 dan kadarnya akan disemak setiap dua tahun.

Penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum itu adalah mandatori dengan gaji minimum pekerja swasta di Semenanjung ditetapkan RM900 dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Subramaniam berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah memberi penangguhan itu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara blanket sehingga 31 Disember ini.

Kepada soalan lain, Subramaniam berkata, adalah tidak berasas untuk kerajaan mewujudkan satu kementerian khas khusus untuk masyarakat India, seperti yang dicadangkan dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment