My Add

Thursday 7 March 2013

Pembangkang penipu besar - TPM

 *MUHYIDDIN Yassin melaungkan kata-kata semangat sambil diikuti oleh pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional dalam Majlis Pelancaran Gelombang Biru Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU, RABU, 06 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan baru-baru ini, sebagai penipuan besar kepada rakyat.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji-janji tersebut yang nyata tidak realistik dan boleh membawa kehancuran kepada negara.

"Jangan tertipu dengan manifesto mereka yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala kerana bulan tidak akan jatuh ke riba. Mereka penipu besar," katanya pada Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Biru peringkat negeri di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dekat sini malam tadi.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan barisan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) itu disertai lebih 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum.

Muhyiddin berkata, kerajaan sudah mengarahkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk melakukan kajian terperinci terhadap manifesto pembangkang tersebut dan hasil kajian mendapati kadar defisit negara akan melambung sehingga lapan peratus jika ia dilaksanakan berbanding empat peratus pada waktu ini.

Beliau berkata, akibat daripada itu, negara akan menanggung hutang yang besar seterusnya menjadi muflis.

"Selain itu, mereka tidak menjelaskan secara terperinci dari mana sumber kewangan diperolehi bagi membiayai segala perkara di dalam manifesto mereka. Memang sedap dengar dan ramai yang setuju kalau harga minyak turun, tol dihapuskan, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dihapuskan.

"Tapi kita kena ingat, kalau ini dilakukan negara akan bankrap kerana terpaksa menanggung beban yang tinggi. Adakah kita nak negara bankrap? Selain itu, mereka juga akan memberikan penjelasan yang berbeza-beza setiap kali berjumpa dengan pihak berlainan," katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kemaruk kuasa.

"Anwar ini tak ada apa yang dia fikirkan... nak jadi Perdana Menteri. Dia makan, minum, mandi dan buang air pun dia fikir nak jadi Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggariskan lima 'petua' untuk memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 serta memberi tamparan hebat kepada calon pembangkang sehingga membuatkan mereka hilang wang pertaruhan.

"Pertama, perlunya ada semangat perpaduan dalam kalangan ahli iaitu sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan. Kalau ada masalah dan perbezaan pendapat, simpan ia dalam peti besi dan kunci.

"Kedua, kesetiaan kepada parti iaitu semua pemimpin dan ahli menyokong siapa sahaja calon yang pilih pucuk pimpinan parti. Tak kira siapa dia asalkan parti kita dan apabila dia menang, parti kita menang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, resipi ketiga ialah semua ahli parti perlu berjumpa dan menerangkan kenapa pengundi perlu memilih BN dan melayan pengundi sebaik-baiknya kerana mereka adalah 'raja'.

"Keempat, semua pemimpin di setiap bahagian jangan mewujudkan masalah baru sebaliknya menguruskan setiap masalah yang sedia ada dengan sebaik mungkin dan terakhir perlunya ada semangat dan keyakinan yang tinggi bahawa BN mampu menang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment