My Add

Sunday 3 March 2013

Pemuda UMNO, NGO buat laporan polis terhadap Tian Chua

ALOR GAJAH, AHAD, 03 Mac, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua kerana kenyataannya yang menuduh insiden di Lahad Datu dirancang UMNO.

Sebanyak 11 laporan polis di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini malam tadi.

Selain Pemuda UMNO Bahagian, turut bersama membuat laporan itu ialah Gerakan Belia 4B, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Melaka Perdana, Pertubuhan Ayahanda Tok Gajah Bersatu dan Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah.

Turut membuat laporan ialah Pemuda UMNO Durian Tunggal, Machap, Asahan, Gadek, UMNO cawangan Melaka Perdana serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Alor Gajah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, Baharudin Abu Bakar berkata, laporan itu dibuat meminta polis melakukan siasatan Tian Chua kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang telah menimbulkan kemarahan rakyat negara ini.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti pembangkang itu telah secara langsung mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat selain dianggap menjejaskan kestabilan negara.

"Kenyataan yang dikeluarkan Tian Chua di dalam keadilandaily.com adalah merupakan fitnah dan merupakan tindakan biadab dan kurang ajar.

"Kita gesa dia (Tian Chua) mohon maaf dan tarik balik kenyataan melampau itu yang jelas menunjukkan kedangkalannya dalam menilai sesuatu isu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di IPD Alor Gajah malam tadi.

Katanya, Tian Chua yang dianggap sebagai seorang pemimpin seharusnya tahu menjaga sensitiviti terutamanya keluarga mangsa yang sudah semestinya sangat sedih kerana kehilangan orang tersayang.

Baharudin berkata, pegawai polis yang terkorban ketika menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara itu bukanlah sesuatu yang wajar untuk dipolitikkan dan seharusnya mendapat penghargaan daripada seluruh rakyat.

"Anggota keselamatan menggalas amanah yang cukup berat untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan sangat tidak bertanggungjawab apabila perjuangan mereka ini dipolitikkan bukannya dibanggakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment