My Add

Saturday 2 March 2013

Penduduk Lahad Datu ambil kesempatan beli barangan keperluan

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LAHAD DATU, SABTU, 02 Mac, 2013: Pekan Lahad Datu yang lengang semalam ekoran pertempuran antara pihak berkuasa dan kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, hari ini mula dikunjungi orang ramai yang ingin mendapatkan barangan keperluan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati meskipun terdapat kedai yang masih tidak beroperasi, namun sebahagian kedai yang dibuka dikerumuni orang ramai terutama kedai-kedai runcit sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Seorang penduduk, Alwdin Ghapun, 50, berkata, dia mengambil kesempatan hari ini untuk membeli barangan keperluan yang hampir kehabisan.

"Semalam banyak kedai ditutup dan barangan keperluan telah habis. Jadi hari ini saya mengambil kesempatan membeli lebih banyak barangan keperluan sebagai persediaan sekiranya kedai ditutup lagi," katanya penduduk Kampung Damai Dusun itu.

Dalam pada itu, Pengurus Kedai Runcit Auliah, Mohd. Rafik Abdul Wahid berkata, hari ini jumlah pelanggan yang datang ke kedainya adalah amat luar biasa berbanding sebelum ini.

Katanya, kebanyakan mereka membeli barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras dan juga gula.

"Orang ramai mungkin mahu menyimpan stok barangan sekiranya perkara tidak diingini berlaku, setakat ini stok yang kami ada masih mencukupi untuk menampung permintaan yang mendadak ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment