My Add

Thursday 7 March 2013

Pengganas serah diri dahulu sebelum proses rundingan: Dr. Mahahir

Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, RABU, 06 Mac, 2013: Pengganas dari Sulu yang menceroboh Sabah mesti menyerah diri terlebih dahulu sebelum proses rundingan dengan kerajaan Malaysia boleh dipertimbangkan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rundingan dengan kumpulan pengganas itu tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi selepas tindakan kejam mereka terhadap pasukan keselamatan negara.

Menurut beliau, perasaan anggota pasukan keselamatan negara yang sanggup mengorbankan nyawa dalam Op Daulat bagi menumpaskan pengganas dari Sulu juga perlu diambil kira.

''Pengganas dari Sulu telah membunuh anggota pasukan keselamatan negara dengan cara yang kejam, sudah tentu rakan-rakan seperjuangan mereka marah.

''Dia patut serah diri dahulu, kalau tidak susahlah hendak berunding," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Bicara Tun Dr. Mahathir Mohamad: Perkongsian Pengalaman Membina Negara di Auditorium Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas tawaran bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari kepada kerajaan Malaysia semalam untuk membantu proses rundingan damai dalam krisis yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan; Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Arif Raja Ali dan Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Norzam Mohd. Nor.

Pada program sama, Dr. Mahathir turut melancarkan buku Cuit: Dilema Melayu Moden nukilan Zaini yang diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Berhubung dakwaan yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam krisis di Lahad Datu, beliau memberitahu, perkara itu dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa, Reuters.

''Bukan kita yang kaitkan Anwar dengan insiden Lahad Datu tetapi Reuters. Reuters bukan di bawah kuasa kita.

''Ini pendapat mereka dan mereka mungkin ada bukti. Kita kata ikut apa yang mereka laporkan, tidak lebih daripada itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menasihatkan Barisan Nasional (BN) agar sentiasa berpegang kepada kebenaran dalam menghadapi tohmahan pihak pembangkang.

Jelas beliau, rakyat pasti menyedari pembohongan yang disebarkan oleh pembangkang setelah diberikan penjelasan yang betul. - UTSAN

No comments:

Post a Comment