My Add

Saturday 2 March 2013

Perkasa percaya ada dalang di sebalik pencerobohan

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) percaya terdapat dalang di sebalik pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah yang setakat ini telah mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya yakin kehadiran kumpulan penceroboh tersebut dilakukan hasil daripada perancangan rapi pihak tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian yang menggemparkan negara itu.

"Kita tak boleh tuduh sesiapa tetapi saya yakin ada dalang dan pihak keselamatan sudah tentu ada maklumat mengenainya. Saya harap kerajaan dapat maklumat tepat dan sedia mendedahkan dalang di sebalik peristiwa ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli dan jawatankuasa Perkasa Terengganu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Ibrahim mengulas pertempuran yang tercetus di Lahad Datu, Sabah hari ini antara pasukan keselamatan Malaysia dengan kumpulan penceroboh yang mengorbankan dua anggota komando polis Malaysia, tiga lagi cedera manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh.

Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun enggan menyebut siapa sebenarnya dalang itu namun tidak menolak kemungkinan pihak terbabit adalah mereka yang kecewa dalam politik dan sedang melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat politiknya.

Malah, jelasnya, pihak terbabit ataupun dalang itu juga sanggup berbuat demikian dipercayai untuk membalas dendam tanpa mempedulikan kesannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment