My Add

Saturday 9 March 2013

Pertambahan bidang kuasa mahkamah rendah mulai 1 Mac

Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Pindaan Akta Mahkamah Rendah (pindaan) 2010 (Akta A1382) yang dikuatkuasakan pada 1 Mac lalu telah menaikkan bidang kuasa sivil mahkamah rendah.

Melalui pindaan itu, bidang kuasa sivil Mahkamah Sesyen dinaikkan daripada RM250,000 kepada RM1 juta manakala bidang kuasa sivil Mahkamah Majistret dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM100,000.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, pembaharuan tersebut berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah dan komplikasi yang dikhuatiri berlaku oleh segelintir peguam sebelum ini.

"Ia merupakan sebahagian daripada transformasi kehakiman yang akan dijalankan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan mewakili negara dalam Pertandingan Debat Undang-undang Philip C. Jessup di Washington DC, Amerika Syarikat pada 29 Mac hingga 11 April ini.

Lima mahasiswa tersebut iaitu Nur Hannah Mohd. Nasir, 21; Muhammad Afif Daud, 21; Abd. Azim Abd. Razak, 20; Farhan Zafry Faiz, 21, dan Marlysa Abdul Razak, 22, sebelum ini muncul juara dalam pertandingan peringkat kebangsaan.

Kejayaan tersebut adalah yang kedua bagi UiTM di peringkat kebangsaan selepas menjuarai pertandingan yang sama pada 2010.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, peningkatan bidang kuasa Mahkamah Sesyen telah diluluskan di Parlimen dan digazetkan pada 30 September 2010 tetapi hanya dikuatkuasakan pada 1 Mac lalu.

"Melalui pindaan, Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan segala tindakan dan guaman daripada jenis sivil bagi pelaksanaan spesifik atau pembatalan kontrak atau bagi pembatalan atau pembetulan surat cara dalam bidang kuasanya.

"Pindaan akta juga memperuntukkan Mahkamah Sesyen boleh dengan apa-apa tindakan dan guaman dalam bidang kuasanya, memberikan injunksi dan membuat perisytiharan sama ada apa-apa relif, tebus rugi atau remedi lain boleh dituntut," katanya.

Beliau berkata, satu lagi transformasi yang telah dilaksanakan ialah penubuhan mahkamah khas iaitu Mahkamah Pembinaan di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

"Mahkamah Pembinaan ditubuhkan atas permintaan daripada pihak industri terutamanya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Kewujudan mahkamah ini akan membantu mempercepatkan penyelesaian kes dan kerja-kerja pembinaan tidak akan terganggu kerana kes yang tertangguh," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment