My Add

Saturday 16 March 2013

PM kecewa pembangkang politikkan isu pencerobohan

KUALA KRAI, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dan marah dengan sikap pemimpin pakatan pembangkang yang mempolitikkan isu pencerobohan di Lahad Datu dengan menyifatkannya sebagai satu sandiwara UMNO.

Perdana Menteri berkata, insiden tersebut sepatutnya tidak dijadikan modal oleh pembangkang untuk meraih undi kerana pencerobohan itu melibatkan soal keselamatan negara.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus menghukum siapa sahaja yang bermulut celupar yang mempermainkan soal kedaulatan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Ambo (saya) yang jadi marah sebab dalam isu Lahad Datu ini, kita kena bersatu. Soal keselamatan negara sepatutnya tidak kira bulan (Pas), roket (DAP) atau mata sebelah (PKR), soal keselamatan dan kedaulatan negara, tidak boleh dimain-mainkan.

"Ambo sedih sebab sebagai Perdana Menteri salah satu daripada kerja yang ambo rasa berat sekali apabila menerima jenazah perwira-perwira negara. Ambo boleh tengok muka-muka balu, tangisan suara balu, ambo boleh tengok muka anak-anak yang hilang tempat bermanja, kebahagiaan keluarga berganti dengan duka lara.

"Inilah rasa yang begitu sedih dan pedih dalam hati melihat perwira-perwira kita gugur di medan perjuangan. Siapa mulut celupar ini, kita mesti hukum dia, hukum yang paling baik sekali ialah semasa dalam pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini hari ini.

Sebelum program tersebut bermula, Najib disambut dengan lagu patriotik 'Barisan Kita' yang dinyanyikan dengan penuh semangat oleh lebih 40,000 hadirin dan kemudian bersama-sama menghadiahkan al-Fatihah untuk perwira yang terkorban.

Sementera itu, di KOTA BHARU, Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 masing-masing kepada ahli keluarga Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Ruslan, 21, di Masjid As-Solihin Kem Pengkalan Chepa di sini.

Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor kepada ibu Ahmad Hurairah, Rahmah Mamat, 50, dan ibu Ahmad Farhan, Roslawati Ghani, 44.

Sebelum itu, Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri bersama-sama 300 isteri anggota tentera daripada pasukan 8 Briged menyertai majlis tahlil, bacaan Yasin dan solat hajat untuk kedua-dua perwira negara itu.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Yasin diikuti tahlil dan solat hajat mendoakan kesejahteraan perwira yang gugur dan sedang berjuang demi tanah air tercinta.

Rosmah kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga Allahyarham dan mengucapkan takziah atas pemergian anak kesayangan mereka ketika berjuang mempertahankan negara.

Dalam pada itu, Najib turut singgah dan meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu keluarga Allahyarham di masjid berkenaan.

Sementara itu, ibu Allahyarham Ahmad Hurairah, Rahmah mengucapkan ribuan terima kasih dan melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diterima itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment