My Add

Wednesday 27 March 2013

Prospek besar lonjak Malaysia

 *NAJIB Tun Razak melawat ke ruang pameran yang disertai oleh 450 syarikat
 dari 29 negara selepas merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa
 (LIMA) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri di Langkawi semalam. - BERNAMA

LANGKAWI, SELASA, 26 Mac, 2013: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 menawarkan prospek besar untuk melonjakkan lagi Malaysia dalam pasaran industri maritim dan udara yang kian berkembang di rantau Asia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan pesat yang dicatatkan Malaysia dalam kedua-dua industri itu melambangkan aspirasi program transformasi ekonomi untuk negara mencapai status berpendapatan tinggi.

"Menerusi jaringan erat dengan negara-negara Asia serta ekonomi mesra perniagaan, saya percaya prospek pembangunan amat kukuh," kata beliau ketika berucap merasmikan LIMA 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertunjukan udara yang menampilkan aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia di samping melawat gerai-gerai pameran LIMA.

Menurut Najib, beliau amat berbangga Pameran LIMA yang memasuki edisi ke-12 itu telah berjaya meningkatkan penyertaan sebanyak 10 peratus dengan menarik kehadiran 450 syarikat dari 29 buah negara serta menghimpunkan 78 buah pesawat dan 62 buah kapal perang.

"Sejak beberapa dekad lalu, pelabur telah banyak memberikan tumpuan kepada Asia. Oleh itu, tidak mengejutkan untuk rantau Asia membangun menjadi sebuah pasaran besar dari segi perbelanjaan maritim dan udara bagi kedua-dua sektor pertahanan dan komersial," kata Perdana Menteri lagi.

Menurut Najib, Malaysia juga mencapai kemajuan pesat dengan nilai industri udara yang bernilai RM8.2 bilion pada tahun 2008 kini telah melonjak kepada RM30 bilion menerusi penglibatan aktif 230 syarikat.

"Kemasukan industri pembinaan dan pembaikan kapal dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga merupakan pengiktirafan terhadap industri maritim yang bukan sahaja merangsang pertumbuhan Malaysia tetapi juga menjana pekerjaan berpendapatan tinggi," jelas beliau lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment