My Add

Wednesday 6 March 2013

Rakyat mesti menentang pencerobohan di negara ini
KUALA KLAWANG, SELASA, 05 Mac, 2013: Rakyat Malaysia mesti bangun menentang sebarang bentuk pencerobohan ke atas negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, misalnya dalam isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, setiap rakyat Malaysia mesti mempunyai perasaan nasionalisme yang padu demi Malaysia yang dicintai.

"Tak kira orang Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain apabila negara kita diceroboh dengan tujuan untuk memecahkan keyakinan atau mempermainkan keamanan dan berpecah-belah, kita sebagai rakyat mesti bangun tidak kira apa parti sekali pun bagi menentang perkara buruk seperti itu," katanya pada majlis ramah mesra badan-badan sukarela 1Malaysia Parlimen Jelebu di Dewan Budaya Simpang Pertang dekat sini, hari ini.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata, sebarang anasir yang cuba memusnahkan kedaulatan Malaysia hendaklah ditentang.

"Sama ada parti kerajaan atau pun parti pembangkang, tumpah taat setia kita ialah Malaysia. Kita tidak boleh lari daripada itu.

"Kita tidak boleh berikan jalan bagi musuh masuk ke dalam negara kita. Kita juga tidak boleh beri idea kepada orang lain untuk melemahkan negara kita dan kita tidak boleh main-mainkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai laporan dari Manila yang mendakwa beberapa pemimpin parti pembangkang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Rais berkata kalau pemimpin pembangkang mahukan pengaruh dan terus dihormati mereka mesti faham bagaimana untuk menghormati kehormatan negara ini.

"Jangan jual negara kepada musuh, jangan mempermainkan nyawa anggota keselamatan kita, dan jangan gadaikan maruah negara kita sementara kita mahu pengaruh menjadi wira dalam parti politik dan pilihan raya umum ke-13," katanya.

Artikel agensi berita Reuters memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata penceroboh datang atas jemputan seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.

Akhbar The Manila Times dilaporkan mendakwa pencerobohan itu mempunyai kaitan dengan kempen pembangkang Malaysia untuk memberi autonomi kepada Sabah jika mereka menang.

Rais menegaskan setiap perjuangan sama ada menerusi badan bukan kerajaan (NGO) atau parti perlu jujur, ikhlas dan terbuka selain menjalankan kerja-kerja kebajikan.

"Oleh itu, saya minta rakyat menghakimkan siapa yang buat kebajikan, siapa yang ikhlas, siapa yang bertanggungjawab untuk memperbaiki keadaan untuk memenuhi keempat-empat perkara tadi.

"Sebab itu NGO mempunyai tanggungjawab sama berat dengan kumpulan lain di mana kita sama-sama membina tamadun, cara hidup untuk Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment