My Add

Sunday 3 March 2013

SKMM akan awasi media sosial pada PRU-13

BUTTERWORTH, SABTU, 02 Mac, 2013: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memantau dan mengawasi penggunaan media sosial pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz, berkata langkah itu bagi memastikan media sosial tidak disalah guna untuk kepentingan politik semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan awam.

SKMM akan memantau semua pengguna media sosial sepanjang PRU13 ini bagi memastikan proses pilihan raya dapat berjalan lancar dan aman, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kenali dan Mesra Jiran anjuran Jabatan Penerangan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata PRU13 akan menjadi pilihan raya media sosial pertama di negara ini apabila internet diguna sebagai antara kaedah berkempen.

Mengulas lanjut, D'Cruz berkata media sosial sering kali disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebar fitnah demi kepentingan politik dan beliau adalah antara mangsa fitnah itu.

Pihak tidak bertanggungjawab ini mementingkan diri dan sanggup berbohong untuk menang dalam politik sedangkan yang penting adalah rakyat hidup aman dan damai, katanya.

"Rakyat terutama orang muda harus bijak memilih kerajaan yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan negara supaya masa depan tidak tergadai. Jangan tertipu dengan helah pihak-pihak yang berniat memecah-belahkan masyarakat dengan menabur fitnah," kata Maglin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment