My Add

Sunday 10 March 2013

Tentera Thai lepas tembakan

BANGKOK, SABTU, 09 Mac, 2013: Tentera Thailand, semalam dilapor melepaskan tembakan ke arah kira-kira 100 etnik Rohingya yang mencari suaka politik yang melarikan diri daripada konflik di negeri Rakhine, barat Myanmar.

Kejadian itu berlaku apabila sebuah kapal yang membawa kira-kira 100 pelarian Rohingya tiba di kawasan perairan di Pulau Surin, utara Phuket akibat kehabisan minyak sebelum ditunda oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Nelayan terbabit kemudiannya menghubungi pihak berkuasa Thailand untuk memberikan bantuan kepada beberapa bot lain yang membawa sejumlah pelarian Islam Rohingya.

Satu rakaman video agensi berita Australia, ABC merakamkan sebuah kapal tentera laut Thailand dan sebuah kapal Pusat Operasi Keselamatan Dalam tiba di pulau terbabit dan menunda sebuah bot pelarian Rohingya.

Namun dalam video tersebut tidak menunjukkan sebarang kejadian tembakan.

Bagaimanapun, penduduk kampung berdekatan mengesahkan mereka terdengar bunyi tembakan dan menemui dua mayat terapung di kawasan kejadian.

Laporan agensi berita ABC yang memetik kenyataan mangsa yang hanya dikenali sebagai Rafik berkata, dia dan rakan-rakannya terpaksa menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam air selepas pihak berkuasa Thailand menunda bot yang mereka naiki ke perairan antarabangsa.

Katanya, tentera Thailand kemudiannya melepaskan tembakan ke arah pelarian Rohingya yang cuba berenang menyelamatkan diri.

Tentera Thailand, bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut, namun penduduk kampung di kawasan kejadian menemui dua mayat dengan satu daripadanya mempunyai kesan tembakan di kepala.

"Kira-kira 15 orang termasuk saya terpaksa melompat keluar apabila bot yang kami naiki ditarik semula ke perairan antarabangsa oleh kapal pihak berkuasa Thailand.

"Kemudian, tentera Thailand mula melepaskan tembakan ke arah kami," jelasnya.

Rafik dan tiga pelarian Rohingya yang lain diselamatkan oleh sebuah bot nelayan dan dibawa bersembunyi di sebuah perkampungan di Thailand, manakala nasib baki pelarian Rohingya yang lain masih belum diketahui. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment