Tiga CIQ akan ditubuh dalam ESSCOM
KOTA KINABALU, SABTU, 16 Mac, 2013: Tiga buah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan ditubuhkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebagai tambahan kepada enam balai polis baharu yang akan dibina dalam masa terdekat di kawasan berkenaan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsha berkata, pada peringkat awal, penempatannya akan dibuat secara sementara sebelum bangunan kekal di lokasi strategik mula dibina.
"Semua ini akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan, kemudahan itu merupakan keutamaan kerajaan. Selepas semua proses berkaitan selesai, tindakan segera akan dibuat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ESSCOM yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin dan beberapa wakil pelbagai agensi di sini hari ini.
Mesyuarat berikutnya akan dibuat di Putrajaya Isnin ini.
Tambah Ali, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) akan dilantik bagi mengetuai ESSCOM yang bertanggungjawab melakukan penyelarasan segala operasi keselamatan pelbagai agensi seperti tentera, polis dan imigresen di sepanjang kira-kira 1,400 kilometer pesisir pantai kawasan itu.
"Pada masa ini, pasukan undang-undang sedang merangka dan meneliti aspek perundangan berkaitan ESSCOM dan selepas proses itu selesai, pelantikan CEO akan dibuat," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment