My Add

Wednesday 13 March 2013

Tun Abdullah arah siasatan terperinci mengenai projek PKFZ

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan agar siasatan terperinci dilakukan terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas Kabinet diminta meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion pada 2007.

Bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn, yang merupakan saksi pihak pembelaan yang kelima dalam kes penipuan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik, memberikan keterangan bahawa Kementerian Kewangan memohon kelulusan bagi pinjaman itu selepas Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) berdepan kesulitan dengan tunggakan pembayaran bon berkaitan projek itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, Dr. Fong bersetuju kementerian memohon supaya permohonan pinjaman itu diluluskan semula selepas mendapat kelulusan awal bagi projek itu oleh Kabinet pada 2 Oktober, 2002.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Manoj mengenai surat kelulusan yang dikemukakan kepada Kabinet pada 27 Jun, 2007, bahawa kos asal projek itu pada 2002 ialah RM1.088 bilion.

"Jika anda lihat pada terma dan syarat perjanjian antara vendor (Kuala Dimensi Sdn. Bhd.) dan Kementerian Kewangan pada 2002, ia tidak termasuk faedah," kata Dr. Fong.

Semasa dirujuk dengan beberapa dokumen yang menyatakan angka itu sebagai RM1.088 bilion oleh Manoj, Dr. Fong tetap dengan pendiriannya bahawa ia sepatutnya lebih kerana RM25 bagi satu kaki persegi itu tidak mengambil kira kaedah pembayaran yang dibuat secara berperingkat bagi tempoh lebih 15 tahun.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh peguam utama yang mewakili Dr. Ling, K.K. Wong, Dr. Fong berkata, dirinya mahupun mana-mana menteri Kabinet tidak diperdayakan oleh Dr. Ling.

Katanya, ia merupakan keputusan bersama oleh Kabinet untuk membeli 1,000 ekar tanah menerusi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) yang mencadangkan ia diperoleh untuk projek PKFZ.

Dr. Fong, bekas pensyarah ekonomi di Universiti Malaya, menjelaskan kaedah pengiraan digunakan bagi pembayaran antara vendor (Kuala Dimensi) dan pembeli (Kementerian Kewangan) ialah kaedah yang biasa digunakan dalam dunia korporat.

"Berdasarkan dokumen-dokumen yang dikemukakan pada mesyuarat Kabinet dan seingat saya, kaedah pembiayaan projek adalah menerusi pembayaran tertunda, iaitu kadar RM25 bagi setiap kaki persegi adalah tidak termasuk faedah.

"Anda juga perlu mengambil kira terma antara pihak-pihak dan ia bukan pembelian tunai. Di sini, vendor telah meminta kadar lebih tinggi pada setiap kaki persegi kerana syarikat perlu meningkatkan dana dengan mengeluarkan bon dan JPPH bersetuju," kata Dr. Fong.

Bekas menteri itu seterusnya menjelaskan harga awal RM21 bagi setiap kaki persegi sebenarnya berdasarkan pembelian tunai, yang tidak memasukkan kos pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan vendor di tanah itu.

"Terdapat banyak pertimbangan terlibat dalam transaksi ini dengan kaedah diskaun aliran tunai (DCF) digunakan dan kadar RM25 bagi setiap kaki persegi telah turut mengambil kira kemudahan infrastruktur, kupon dan kadar asas seperti dinyatakan dalam terma-termanya oleh JPPH, tanpa kadar faedah tambahan bagi tempoh lebih 15 tahun," kata Dr. Fong.

Dr. Ling, 69, didakwa memperdayakan kerajaan dengan tidak mendedahkan kepada Kabinet kadar faedah tambahan 7.5 peratus setahun bagi RM1.088 bilion (pada kadar RM25 setiap kaki persegi) dalam pembelian tanah bagi projek PKFZ di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 25 September, 2002 dan 6 November, 2002.

Beliau juga meminta dibicarakan terhadap dua pertuduhan alternatif iaitu menipu, yang membawa hukuman lebih ringan.

Pada prosiding hari ini, Wong juga memaklumkan kepada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang beliau bercadang memanggil empat lagi saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Abdullah.

Perbicaraan bersambung Isnin depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment