My Add

Sunday 3 March 2013

UMNO tak dapat untung daripada isu di Lahad Datu - Tengku Adnan

HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, SABTU, 02 Mac, 2013: UMNO tidak akan mendapat apa-apa keuntungan politik atau meraih undi untuk pilihan raya umum (PRU) jika terlibat dalam isu insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun kerajaan hari ini dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi pihak kerajaan telah melakukan semua kaedah bagi mengelakkan berlaku pertumpahan darah dalam isu terbabit.

"Mana ada UMNO atau BN terlibat, dan kalau terlibat sekalipun, nak buat apa. Kalau betul nak terlibat, kami sudah lama menakut-nakutkan rakyat sendiri.

"Tetapi kami masih lagi dengan cara sendiri iaitu mengadakan rundingan bagi mengelakkan sebarang pertumpahan darah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan melawat gerai-gerai yang terlibat dalam Karnival WOW! Putrajaya di sini hari ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chiang atau Tian Chua semalam mengeluarkan kenyataan di dalam portal Keadilan Daily bahawa insiden tembak-menembak itu merupakan konspirasi UMNO kononnya bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Beliau mendakwa, pencerobohan tersebut tidak mendapat perhatian media tempatan sebaliknya hanya dilaporkan oleh media asing.

Sehubungan itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyeru agar orang ramai tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas sama sekali itu.

Malah, beliau berkata, dakwaan sedemikian timbul mungkin disebabkan usaha parti pembangkang untuk meraih undi untuk PRU ke-13 yang tidak lama lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment