My Add

Tuesday 5 March 2013

Usaha promosi Kelantan di Singapura berjaya

Daripada YULPISMAN ASLI
SINGAPURA, SELASA, 05 Mac, 2013: Usaha kerajaan diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mempromosikan Kelantan sebagai antara destinasi pelancongan menarik di Malaysia kepada rakyat Singapura berjaya mencapai matlamatnya.

Mustapa berkata, hasil promosi secara fokus yang telah dijalankan didapati minat rakyat Singapura untuk berkunjung ke kelantan semakin meningkat.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut dibantu oleh usaha Tourism Malaysia yang sebelum ini telah membawa seramai tujuh wartawan Singapura melawat Kelantan bagi menyelami sendiri keindahan dan keunikan yang ada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, seterusnya berkongsi pengalaman dengan warga Singapura dalam seminar pelancongan yang diadakan di sini hari ini.

"Mereka cukup gembira dengan apa yang mereka lihat dan saya dapati ia cukup berkesan dalam mempromosikan pelancongan Kelantan di sini," katanya kepada pemberita Malaysia yang mengikuti misi menarik pelaburan dan promosi pelancongan selama dua hari ke negara ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen promosi pelancongan 'Let's go to Kelantan' bersama Tourism Malaysia dan syarikat penerbangan Firefly di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Raffles City Convention Center itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Hussin Nayan; Penasihat Khas Menteri Pelancongan, Sulaiman Ismail dan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Musa Yusof. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment