My Add

Tuesday 5 March 2013

Malaysia tetap selamat untuk pelabur asing - Mustapa

Daripada YULPISMAN ASLI
SINGAPURA. SELASA, 05 Mac, 2013: Malaysia tetap sebuah negara aman dan stabil untuk pelabur asing dan mereka tidak perlu bimbang mengenai insiden serangan sekumpulan penceroboh di Lahad Datu, Sabah yang telah mengorbankan beberapa nyawa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika memberikan jaminan tersebut kepada para pelabur di negara ini menegaskan, pihak berkuasa Malaysia telah mengambil segala langkah perlu untuk menagani insiden berkenaan yang dijangka akan dapat ditangani tidak lama lagi.

"Saya beri jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang menangani perkara ini dengan berkesan dan kita mendoakan (insiden tersebut) akan tamat sedikit masa lagi, dan ini tidak harus ada kesan terhadap iklim pelaburan di Malaysia.

"Ini adalah keadaan yang berbentuk sementara dan kita wajib mempertahankan kedaulatan negara kita dan negara Filipina faham kenapa tindakan perlu diambil terhadap mereka (kumpulan penceroboh) dan saya yakin bahawa kita akan dapat tangani perkara ini dengan berkesan dan keadaan ini tidak akan menjejaskan iklim pelaburan," katanya kepada pemberita Malaysia yang mengikuti misi menarik pelaburan dan promosi pelancongan selama dua hari ke negara ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dan dialoq dengan kira-kira 300 pelabur Singapura di Raffles City Convention Center di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Hussin Nayan dan ketua-ketua koridor wilayah pembangunan ekonomi termasuk Sabah serta Sarawak.

Dalam pertemuan itu juga, Mustapa turut memberi jaminan kepada para pelabur bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan semua dasar yang dilaksanakan akan diteruskan bagi memastikan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia tidak terjejas. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment