My Add

Tuesday 12 March 2013

Wanita UMNO desak segera siasat dakwaan dalang insiden pencerobohan

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Wanita UMNO hari ini mendesak pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap dakwaan media asing mengenai dalang dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata siasatan segera perlu dilakukan kerana dakwaan yang dibuat media asing itu adalah perkara serius yang membabitkan keselamatan negara.

"Jika laporan itu benar, itu (dalang itu) bukan sekadar pengkhianat negara tetapi langsung tidak mempunyai semangat patriotik hingga sanggup menggadai negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada pesara S Saraswathy, 60, di Flat Seri Johor, di sini.

Saraswathy ketika ditemui berkata, wang bantuan RM3,000 itu akan diguna untuk perbelanjaan dua anaknya yang terlantar sakit P Daneswary, 25, dan P Sivaprakas, 35.

Daneswary anak bongsu daripada lima beradik disahkan menghidap sakit jantung semasa berusia lima tahun dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak setahun lalu, manakala abangnya terlantar selepas sebahagian tempurung kepalanya pecah kerana dipukul ketika hendak keluar bekerja tahun lalu.

"Sivaprakas bekerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan baru berkahwin semasa dia dipukul menyebabkan isterinya K Amutha, 25, terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci untuk memberi perhatian kepada suami," katanya.

Saraswathy yang juga pesara DBKL berkata bayaran sewa rumah RM124 tertunggak selama dua tahun kerana wang pencen RM600 sebulan diguna untuk membeli susu dan lampin pakai buang Sivaprakas, membayar bil ubat di Institut Jantung Negara (IJN) serta menampung perbelanjaan sekolah dua cucu yang tinggal bersamanya. 

"Anak sulung saya meninggal dunia 12 tahun lalu dan menantu saya menghantar anaknya ke rumah saya dan tidak pernah pulang. Suami saya pula meninggal dunia pada Januari 2006," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment