My Add

Tuesday 30 April 2013

DAP terap sentimen anti-Pas?

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Peraih undi DAP di beberapa negeri difahamkan sedang giat menggerakkan sentimen mempengaruhi pengundi bukan Islam supaya menolak calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut sumber, mereka menyebarkan sentimen bahawa 'satu undi kepada Pas membawa negara menuju ke arah penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud Pas'.

Sumber itu menjelaskan, walaupun status negara Islam tidak semestinya bermakna penduduk bukan Islam ditindas, namun peraih undi DAP berperanan menimbulkan ketakutan terhadap masyarakat bukan Islam tentang istilah 'negara Islam' dan 'hudud'.

"Peraih undi DAP juga ghairah menimbulkan persoalan kepada pengundi bukan Islam tentang adakah janji Pas bahawa undang-undang hudud parti itu tidak akan terpakai ke atas masyarakat bukan Islam boleh dipercayai.

"Saya tidak pasti adakah peraih undi itu mendapat arahan daripada pemimpin DAP di peringkat Pusat, negeri atau itu tindakan mereka sendiri kerana tidak setuju dengan kerjasama Pas dalam pembangkang khususnya berkaitan agenda hudud Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dalam ceramah di Perlis menegaskan Pas tetap akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang menguasai Putrajaya walaupun mendapat tentangan DAP.

Kenyataan itu bercanggah dengan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang konsisten menolak hudud Pas malah tentangan serupa disuarakan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez kelmarin dan Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan hari ini yang menggesa pengundi bukan Islam menolak Pas.

Sumber tersebut menambah, gerakan ahli DAP di peringkat akar umbi itu merupakan perbuatan sabotaj terhadap Pas yang bakal menjejaskan peluang pakatan pembangkang membentuk kerajaan serta mempertahan negeri yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin tertinggi Pas dan DAP perlu membuat kenyataan jelas berhubung perkara ini," tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah mengesahkan ahli DAP di peringkat akar umbi sering menyatakan rasa tidak selesa berhubung kerjasama DAP dengan Pas.

Katanya, rasa tidak puas hati itu memandangkan Pas bersungguh- sungguh dengan agenda Islam sedangkan DAP pula memperjuangkan hak sama rata dalam kalangan penganut agama berlainan.

"Semasa saya masih dalam DAP, kebanyakan mesyuarat kerap menyebut tentang bagaimana DAP masih boleh menang di kebanyakan kawasan dalam Pilihan Raya Umum 2008 tanpa perlu mendapatkan bantuan Pas dan kali ini, sentimen itu semakin kuat.

"Walaupun secara formal pimpinan DAP dan Pas dilihat bekerjasama, namun penolakan DAP terhadap Pas kini giat dijalankan di peringkat akar umbi," katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment