My Add

Tuesday, 30 April 2013

PRU13: Warga emas mengaku tidak bersalah ugut guna parang

KOTA BHARU, 29 April, 2013: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tuduhan melakukan ugutan menggunakan parang terhadap seorang lelaki, ketika memasang bendera parti, Jumaat lalu.

Salahudin Mohd Amin, 61, minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Salahudin didakwa melakukan ugutan dengan mengancam mahu mencederakan Abdul Muizz Abd Aziz, 23, dengan menggunakan sebilah parang panjang di sebuah lorong di Batu 2, Jalan Kuala Krai, di sini, jam 10.30 pagi pada 26 April lalu.

Bapa kepada 11 anak itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon dikenakan jaminan minimum iaitu RM1,000 kerana dia adalah pencari rezeki tunggal dan perlu menyara tujuh anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes itu. 

Sebelum itu, Nik Habri turut menasihatkan orang ramai supaya menjalankan kempen secara sihat dan berhemah untuk mengelakkan berlaku sebarang insiden keganasan.

"Mahkamah sememangnya anti kepada keganasan. Sudah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menasihatkan orang ramai supaya berkempen secara 'molek' (baik)," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian itu, tertuduh didakwa mengacukan parang ketika mangsa sedang memasang bendera dan kain rentang parti bersama rakannya di Batu 2, Jalan Kuala Krai.

Mangsa yang ketakutan dan bimbang keselamatan dirinya, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu sebelum warga emas itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 pagi semalam - BH

No comments:

Post a Comment