My Add

Tuesday 30 April 2013

Kesepakatan pembangkang bakal berakhir

KUANTAN, ISNIN, 29 April, 2013: Tindakan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez yang menggesa rakyat tidak mengundi Pas pada pilihan raya ini jelas menggambarkan betapa longgarnya hubungan antara parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hassan Ali berkata, ini adalah petanda awal berakhirnya kesepakatan antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mungkin berlaku dalam tempoh beberapa minggu atau hari lagi.

"Kenyataan ini bermakna mereka akan menghadapi pilihan raya yang betul-betul perkauman di mana satu pihak menggalakkan orang Melayu mengundi Pas manakala orang Cina mengundi DAP," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan ceramah di Taman Inderapura di sini malam tadi.

Pemimpin nombor dua DAP Johor itu menggesa rakyat di Johor tidak mengundi Pas kerana yakin parti itu tidak ikhlas dalam berjuang bersama pakatan pembangkang.

Beliau juga mendesak DAP supaya keluar daripada pakatan pembangkang selagi Pas menganggotainya.

Hassan berkata, kenyataan ini boleh menyebabkan undi orang Melayu akan berpaling kepada Pas dan akhirnya akan merugikan pakatan terutamanya DAP yang mengeluarkan kenyataan tikam belakang itu.

"Malah mereka yakin dengan tiada sokongan daripada Pas, kawasan orang Cina di Johor termasuk di kawasan Penasihat DAP, Lim Kit Siang iaitu Parlimen Gelang Patah boleh menang tanpa undi Melayu.

"Saya pasti keputusan pilihan raya nanti akan berpihak kepada DAP dan menyebabkan kekalahan teruk kepada PKR serta Pas malah akan berakhirnya kerjasama antara mereka," katanya.

Terdahulu, dalam ceramahnya beliau berkata, jika pakatan menang pada pilihan raya ini nanti akan berlaku malapetaka terhadap negara.

"Bayangkan dengan tiada kesepakatan antara mereka ini boleh menyebabkan pelbagai perkara di luar jangka termasuklah huru-hara yang boleh merosakkan negara.

"Oleh itu, saya sebagai Pengerusi Jati ingin mengumumkan bahawa adalah wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ini kerana parti inilah saja yang boleh beri keamanan kepada negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment