PRU13: Semua pihak perlu pertahan kemurnian bahasa Melayu - Dr. Lim Swee Tin
KAMPAR, ISNIN, 29 April, 2013: "Bahasa kita penuh dengan sopan santun dan nilai moral yang tinggi... jadi untuk apa kita cuba membudayakan unsur kasar dan biadap ketika bercakap kerana ia boleh melukakan hati pihak lain," kata aktivis sastera, Dr Lim Swee Tin.
Beliau mengulas mengenai fenomena segelintir ahli politik yang lebih suka menggunakan bahasa kasar dan 'maki-hamun' dalam kempen politik mereka.
Swee Tin berkata, budaya maki-hamun itu dikhuatiri akan merosakkan masyarakat kerana unsur negatif seperti itu mudah merebak dan berkembang dalam masyarakat serta menjadi ikutan anak dan generasi muda.
Beliau berkata, penggunaan bahasa yang tertib dan sopan menggambarkan siapa seseorang itu, malah ada pepatah Melayu mengatakan pengenalan bangsa diri dan seseorang itu melalui bahasa yang digunakan.
Justeru, katanya, beliau menasihatkan semua pihak supaya kembali kepada usaha mempertahankan kemurnian bahasa Melayu.
"Bahasa Melayu adalah bahasa yang beradab sejak zaman berzaman. Malah, rukun negara kita meletakkan kesopanan dan kesusilaan di tangga yang tertinggi.
"Usahlah kita menggadai bahasa indah ini terutama dalam keghairahan memenangi kerusi atau memperoleh pengaruh serta merebut tampuk pemerintahan.
"Jangan lupa kita ada anak dan cucu yang masih ramai dan kecil, generasi berkenaan perlu dibina dengan berhati-hati dan jangan kita terlalu ghairah tanpa memikirkan masa depan mereka," katanya ditemui selepas membuat persembahan puisi di padang Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang, Gopeng, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Swee Tin mengajak penyajak dan aktivis sastera seluruh negara bersama-sama dengan kerajaan sedia ada untuk membina zaman akan datang yang penuh gemilang.
"Saya menyedari penyajak kini sudah bersama-sama dengan kerajaan terutama dalam menyuarakan sesuatu yang amat baik bagi menyokong kerajaan, khususnya menerusi proses transformasi dilancarkan kerajaan.
"Sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, bidang bahasa, penulisan, kesenian dan kesusasteraan diberi perhatian besar oleh kerajaan malah mereka menghargai sumbangan dilakukan penulis dan penyajak negara," katanya sambil mengakui kerajaan memberi peluang kepada penulis untuk menerbitkan karya dan buku selain memberi sumbangan dana.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dua minggu lalu mengumumkan sumbangan dana RM2 juta bagi membantu penulis menerbitkan karya masing-masing.
"Malah, saya baru menerima berita gembira bahawa dana RM2 juta itu sudah sampai kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," katanya yang menyifatkan sumbangan itu satu tindakan proaktif dan amat luar biasa. - BH
No comments:
Post a Comment