Masyarakat FELDA diminta terus sokong BN untuk kesinambungan kejayaan - Muhyiddin
LABIS, ISNIN, 29 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta masyarakat FELDA supaya terus menyokong Barisan Nasional (BN) untuk penetapan usaha memacu kejayaan masyarakat itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata kemajuan yang dinikmati masyarakat Felda hari ini adalah kesinambungan usaha kepimpinan BN sejak organisasi itu ditubuhkan.
"Jadi, adalah wajar masyarakat FELDA terus menyokong BN kerana saudara-saudari berada di sini juga kerana BN. Kehidupan yang lebih baik kerana BN dan dapat manfaat yang lebih baik pun sebab BN," katanya.
Muhyiddin yang akan mempertahan kerusi Parlimen Pagoh berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Jaringan Kolaborasi Strategik dan Pembangunan Persekitaran Lestari di Gugusan Felda Maokil di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat FELDA pada hari ini semakin membangun dengan penempatan mereka mempunyai sistem jalan raya yang baik dan peneroka memiliki rumah yang selesa berbanding dahulu.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, walaupun ada cubaan pembangkang untuk meracuni fikiran masyarakat Felda, namun beliau yakin mereka tidak terpedaya dengan tipu helah itu.
"Pembangkang berkempen dengan membuat janji yang sedap didengar tetapi tidak menjelaskannya secara terperinci.
"Jadi, saya harap masyarakat Felda jangan tertipu. Kita kena bijak menilai demi masa depan generasi anak muda," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut memuji program kolaborasi strategik yang bertujuan membangunkan persekitaran lestari di kawasan komuniti itu.
Selain meningkatkan pendapatan, katanya, warga FELDA perlu memberi penekanan kepada usaha memelihara alam sekitar dan mencantikkan kawasan persekitaran.
Program tiga hari itu adalah kerjasama antara FELDA, Universiti Teknologi Malaysia, Landskap Johor dan Kolej Komuniti Muar.
Turut hadir, calon BN bagi DUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed dan calon DUN Jorak, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment