My Add

Tuesday 30 April 2013

Tarik balik permit teksi individu, jika dijual atau dipajak - SPAD

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013:: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi amaran akan membatalkan permit teksi milik individu jika pemiliknya menjual atau memajak lesen berkenaan kepada pihak lain.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pihaknya juga tidak akan melayan permohonan semula individu terbabit bagi mengelakkan perkara berkenaan berulang.

"Kita tidak mahu ada pemandu yang menjual lesen ini atau sewenang-wenangnya pajak kepada pihak lain, termasuk syarikat teksi,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan permit teksi individu kepada 300 pemandu teksi terpilih termasuk 30 pemandu teksi wanita di Lembah Klang, di sini, petang ini.

Syed Hamid berkata, pemberian lesen teksi individu itu sejajar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menambah baik pendapatan serta meningkatkan taraf hidup pemandu teksi, khususnya di Lembah Klang.

"Oleh itu, saya minta kepada pemandu teksi jangan sesekali menjual atau memajakkan lesen mereka kepada pihak lain.

"Kalau boleh biarlah kita simpan lesen itu untuk kemudahan anak-anak kita pada masa depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata SPAD memperuntukkan 10 peratus pemberian permit teksi individu kepada pemandu wanita bagi menggalakkan lebih ramai golongan terbabit menceburi kerjaya itu di negara ini.

Katanya, SPAD juga melonggarkan syarat permohonan permit berkenaan kepada wanita yang berminat untuk memohonnya.

"Kalau syarat biasa pemandu perlu mempunyai pengalaman lima tahun, tapi untuk wanita kita longgarkan kepada dua hingga tiga tahun saja.

"Hari ini kita dah beri kepada 300 pemandu termasuk 30 pemandu teksi wanita," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment