My Add

Tuesday 30 April 2013

PRU13: BN tidak pernah pinggir rakyat luar bandar - Muhyiddin

 MUAR, ISNIN,29 April, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan rakyat di luar bandar, sebaliknya mereka mendapat pembelaan yang saksama.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kedudukan masyarakat di luar bandar tidak bermakna mereka tidak boleh menerima pembangunan seperti tempat lain kerana kerajaan melaksanakan dasar pembangunan secara seimbang.

Beliau berkata, kerajaan mahu pembangunan berkenaan dirasakan segenap masyarakat terutama di luar bandar supaya masyarakat akan menjadi lebih maju.

"Matlamat BN ialah melihat kesejahteraan tercapai dan ia akan terus dilaksanakan," katanya pada Majlis Pelancaran Bekalan Air Luar Bandar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan FELCRA Bukit Kepong, di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengarah Jentera Pilihan Raya Parlimen Pagoh, Datuk Tahir Taat dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata pada hari ini rakyat boleh melihat suasana negara yang cukup baik serta rakyatnya yang bersatu padu.

Katanya, pihak yang mampu berjuang untuk rakyat hanyalah BN, berbanding pembangkang yang hanya
membuat janji manis yang tidak boleh ditunaikan.

"Sekilas pandang rasa tertarik dengan manifesto (pembangkang), tapi jangan terpedaya dengan tawaran janji manis mereka. Memang mereka membuat tawaran melangit tetapi kita perlu melihat nasib kita, anak cucu cicit kita . Malaysia jika nak laksana (manifesto pembangkang) tidak akan boleh, dua tahun akan bankrap," katanya.

Beliau berkata, pembangkang ketika ini juga sudah bertelagah sesama sendiri dan tidak pernah bermuafakat apabila banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah antara sesama sendiri.

Berikutan itu, kata beliau, rakyat perlu mempertahankan kerajaan yang terbukti menjaga maruah, bangsa dan agama.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.5 juta bagi menyediakan kemudahan air bersih kepada penduduk FELCRA berkenaan. - BH

No comments:

Post a Comment