My Add

Tuesday 30 April 2013

Pas serang bilik gerakan PSM?

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Bendahari Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), A. Sivarajan mendakwa bilik gerakan parti tersebut di Kota Damansara telah 'diserang' oleh beberapa penyokong Pas, semalam.

Menurutnya, beliau yakin tiga individu yang hadir di bilik gerakan mereka itu merupakan penyokong Pas.

"Kira-kira pukul 2.20 petang ini, sewaktu saya berada di lokasi kejadian, tiga lelaki lengkap berpakaian baju T Pas menjerit ke arah kami menuduh kami menurunkan bendera parti mereka.

"Mereka menjerit dan meminta nombor telefon pengerusi kami, Dr. Nasir Hashim dan nombor beberapa anggota kami yang lain," katanya seperti dipetik daripada portal berita www.mole.my.

Sivarajan menambah, pihaknya mengarahkan kumpulan berkenaan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya membuat bising di bilik gerakan mereka.

"Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian mula mengambil beberapa keping gambar bilik gerakan kami sebelum beredar menaiki dua buah kereta dan sebuah motosikal," katanya.

Jelas beliau lagi, ini bukannya kejadian pertama sebaliknya yang kedua sejak hari penamaan 20 April lalu, selepas Pas mengumumkan akan meletakkan calon mereka di Kota Damansara.

"Ini bukan kejadian pertama, kerana pada hari penamaan calon, selepas Pas mengumumkan mahu meletakkan calon mereka, kami menerima banyak panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan ada pihak berniat menyerang kami.

"Tetapi mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment