My Add

Tuesday 30 April 2013

Isu kalimah Allah: Karpal perlu minta maaf, Pas tarik balik persetujuan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh didesak memohon maaf secara terbuka tanpa syarat ekoran kelancangannya yang terus memperjuang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu seperti dibangkitkan sebelum ini.

Serentak itu, aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin menuntut Majlis Syura Ulama Pas mendesak Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik persetujuan yang ditandatangani bersama Majlis Pakatan Pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Beliau berkata, selagi pendirian itu tidak ditarik secara rasmi, pendirian Majlis Syura Ulama Pas membantah isu tersebut hanya perbuatan sia-sia.

"Persetujuan itu belum ditarik balik secara rasmi dan ini bermaksud Pas selamanya menyokong tuntutan DAP tersebut.

"Oleh itu, saya menyeru semua jentera parti Pas bangkit membantah tindakan parti itu dalam isu kalimah Allah ini. Jangan jadi pak sanggup dan kambing hitam demi meraih sokongan dan memberi kepentingan secara langsung kepada DAP dan legasinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kecaman Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terhadap Karpal yang didakwa sengaja membangkitkan isu membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan menentang hukum hudud.

Menurut Mohd. Puad, Karpal yang beragama Sikh tidak sepatutnya membangkitkan isu agama Islam kerana tidak melibatkan agama yang dianutinya selain berisiko mewujudkan ketegangan kaum di negara ini.

Mohd. Riza berkata, lebih malang para pemimpin Pas terus memperbodoh umat Islam hanya dengan menggunakan kenyataan serta pendirian Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membawa sebarang makna.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa Karpal serta pihak yang mahu kalimah Allah digunakan di dalam Bible bahasa Melayu menghentikan segera provokasi mereka.

"Sebagai umat Islam, kami tidak akan membenarkan perkara itu berlaku dan kami akan pertahankan kalimah Allah yang agung itu dengan darah dan nyawa kami. Karpal diingatkan jangan bermain dengan api perkauman dan agama kerana buruk padahnya.

"Kita sewajarnya mencari jalan dan kaedah terbaik memastikan kestabilan dan keharmonian kaum terus terjalin dengan utuh walaupun kita berbeza pandangan politik dan agama," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Riza mengajak umat Islam menolak semua calon DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pas dalam pilihan raya umum akan datang kerana dilihat sebagai anasir yang boleh mengancam kestabilan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment