My Add

Tuesday, 30 April 2013

PRU13: Terima saya sebagai kawan lama - Ghani Othman

PONTIAN, ISNIN, 29 April, 2013: "Telah 18 tahun saya bersama rakyat Johor, terimalah saya bukan saja sebagai bekas Menteri Besar, tetapi kawan lama untuk kita bersama menubuhkan kerajaan lebih kukuh," kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Abdul Ghani yang akan bertanding di kerusi 'panas' Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), mengajak rakyat Johor mempertahankan negeri ini bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan yang kukuh dan meneruskan kelangsungan pembangunan yang dirancang.

"Kita perlukan sokongan di seluruh negara termasuk di Tanjung Piai dan Pontian kerana sudah terbukti apa yang dilaksana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh empat tahun memerintah negara," katanya.

Abdul Ghani berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Pasar Lambak Pekan Nanas, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir calon BN Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jack Seng, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup Suhaimi Salleh dan calon DUN Pekan Nenas Wong You Fong.

Abdul Ghani mengakui sepanjang tempoh sebagai menteri besar, terdapat perkara yang tidak sempurna, namun beliau telah melakukan yang terbaik dan berharap dapat terus berkhidmat untuk rakyat Johor.

"Untuk meneruskan pelaksanaan itu, marilah kita di seluruh Johor daripada setiap lapisan masyarakat untuk bersama memberi sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan," katanya.

Abdul Ghani juga menyeru agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan politik yang membawa perpecahan dalam kalangan rakyat di negeri ini dan perlu mempertahankan sokongan terhadap BN.

Pada PRU-13 5 Mei ini, Abdul Ghani akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment