My Add

Tuesday, 30 April 2013

Hadi putar belit fakta peristiwa 13 Mei

KAMPAR, ISNIN, 29 April, 2013: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sudah ketandusan idea sehingga terpaksa memutarbelit fakta sejarah berhubung peristiwa 13 Mei 1969 semata-mata mahu menagih sokongan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Presiden Pas itu tidak mengejutkan kerana taktik berkenaan sudah biasa digunakan oleh pemimpin pembangkang semata-mata mahu menjadi popular.

"Ini cara tipikal mereka dan waktu pilihan raya begini, isu-isu yang tidak sepatutnya akan dibangkitkan dan semuanya dimainkan bagi tujuan kepentingan politik.

"Jika kita analisis, beliau lakukan itu semata-mata kerana mahu menagih undi daripada rakyat dan sebelum ini pun, mereka melakukan perkara yang sama," katanya kepada pemberita selepas Program Kunjungan Mesra Menteri Besar Ke Daerah Kampar di Malim Nawar di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang menuduh UMNO sebagai dalang peristiwa 13 Mei walaupun sejarah membuktikan kejadian pada tahun 1969 itu bermula daripada provokasi pembangkang.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan (BN) negeri berkata, perkara tersebut tidak perlu diperdebatkan kerana dalam kehangatan musim pilihan raya ini, isu seumpama itu boleh mengeruhkan keadaan.

Namun, katanya, tindakan Abdul Hadi itu menunjukkan rata-rata pemimpin pembangkang cetek ilmu sejarah.

"Tak perlulah kita berdebat dengan mereka secara akademik pun kerana waktu ini pembangkang bukan mahu bercakap soal akademik atau soal fakta dan mereka pun semuanya buta fakta sejarah.

"Sedangkan semua fakta sejarah yang menjadi rujukan generasi kini adalah benar dan tidak ada satu alasan pun untuk menafikan atau menolak semua peristiwa yang berlaku dalam negara ini sejak dahulu hingga kini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment