My Add

Tuesday 30 April 2013

PRU13: Penjawat awam kecewa calon pembangkang label mereka kera

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 April, 2013: Beberapa penjawat awam kecewa dengan calon PKR bagi kerusi Parlimen Johor Baharu, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein, yang melabelkan mereka sebagai kera.

Mereka berpendapat kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia, walaupun kini beliau menyertai pembangkang.

Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Kamarulzaman Ali, 41, berkata Md Hashim sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana pernah menerimanya menyertai perkhidmatan awam itu.

"Sepatutnya dia perlu merasa bangga kerana memperoleh pengalaman berkhidmat dalam kerajaan. Bukan memburuk-burukkan kerajaan selepas bersara.

"Apabila dia samakan penjawat awam dengan kera, bermakna dia sebenarnya menghina dirinya sendiri kerana sebahagian besar daripada mereka (pembangkang) pun bekas penjawat awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Md Hashim yang melabelkan penjawat awam sebagai kera dalam rakaman video, yang dipercayai dilakukannya semasa kempen pilihan rayanya di Johor Bahru, yang dimuat naik ke Youtube enam hari lalu dengan tajuk 'Semua Penjawat Awam Memang KERA' oleh pemilik akaun bernama mykmujohor.

Lebih 10,500 pengguna Youtube telah menonton rakaman video itu dan ramai daripada mereka mengutuk perbuatan berkenaan.

Dalam video selama 39 saat itu, Md Hashim berkata kakitangan kerajaan (penjawat awam) adalah singkatan kepada 'kera dalam jagaan' dan mereka seperti beliau sendiri apabila dilepaskan mula mengamuk dan merusuh.

Sabtu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam membuat tafsiran sendiri mengenai kenyataan yang menyinggung perasaan itu.

Kamarulzaman berkata, tiada sesiapa pun daripada penjawat awam dipaksa menyertai perkhidmatan dalam kerajaan dan tiada siapa juga yang dipaksa untuk keluar daripada perkhidmatan kerajaan.

“Apabila dia (Md Hashim) kata macam tu, saya mewakili warga TUDM tidak sedikit pun rasa terhina, sebaliknya kami rasakan satu cabaran dan tohmahan itu patut dilawan. Malah, kami betekad untuk lebih gigih lagi berkhidmat dalam kerajaan," katanya.

Bagi Pegawai Waran Rancang Operasi TUDM Subang, Mohdan Amran, 38, kenyataan biadap itu tidak sepatutnya dikeluarkan semata-mata untuk meraih perhatian dan undi rakyat.

"Pada pendapat saya, dalam kita berkempen untuk tarik perhatian penjawat awam ni, kenyataan tu tak sepatutnya dikeluarkan. Kita sedia maklum, terutama anggota tentera ni, kita setia kepada pemerintah.

"Itu sumpah janji kita, pada saya kalau nak berkempen pun biarlah cara yang berhemah dalam keadaan rakyat yang majmuk, jaga senstiviti dan kita akan jalankan tanggungjawab dan hak masing-masing," katanya.

Sementara itu, seorang kerani di Jabatan Kastam Putrajaya, Noraziah Ramli, 30, pula berpendapat kenyataan Md Hashim itu sebagai tidak mengenang budi dan seperti 'kacang lupakan kulit'.

"Tak patut dia keluarkan kenyataan tu. Kami, sebagai penjawat awam tetap taat, berpuas hati dan menyokong segala tindakan dan dasar kerajaan. Kami juga berjanji akan setia kepada kerajaan yang selama ini telah banyak membela rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment