My Add

Tuesday 30 April 2013

Pas hanya jadi mainan DAP - Mohd. Puad

BATU PAHAT, ISNIN, 29 April, 2013: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi melabelkan Pas sebagai penipu besar apabila sanggup bersandiwara kononnya DAP menerima perjuangan mereka sedangkan pemimpin DAP Johor, Norman Fernandez telah menyatakan pendirian menolak parti itu.

Menurutnya, Pas tidak seharusnya menipu rakyat dan penyokongnya kerana tindakan itu akan menjadi cerminan terhadap prinsip masyarakat Islam selain menunjukkan parti tersebut hanya menjadi permainan DAP yang mengejar jawatan.

"Pertelagahan dalam kalangan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan perkara baharu tetapi hanya memasuki episod lain, malah pertelagahan itu membuktikan mereka tidak sepakat seperti yang didakwa.

"Rakyat perlu menilai dan berfikir apa akan berlaku jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan, pastinya wujud perselisihan dan krisis yang bakal membawa pertelagahan lebih teruk melibatkan rakyat sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norman yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Johor semalam dilaporkan meminta masyarakat bukan Islam di Johor tidak mengundi Pas kerana menyifat parti itu sebagai ekstremis.

Bagi menutup perbalahan yang wujud, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tampil menegaskan dan menganggap rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang itu boleh menerima Islam yang diperjuangkan Pas.

Mohd. Puad berkata, serangan Norman terhadap Pas juga telah membuka pekung atau muslihat sebenar DAP terhadap parti itu dan masyarakat Islam.

Berikutan itu beliau menggesa Pas berhenti berbohong kepada rakyat bahawa DAP sedia menerima Islam kerana realitinya tidak terjadi seperti yang didakwa.

"Tidak perlulah Pas berbohong lagi, nyatakan kebenaran kepada rakyat kerana lambat-laun rahsia tersebut akan terbongkar dan boleh membawa musibah kepada negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment