My Add

Tuesday 30 April 2013

Empat didakwa di Mahkamah Majistret esok kesalahan berkaitan pilihan raya

 PUTRAJAYA, ISNIN, 29 April, 2013: Empat lelaki akan didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di Alor Setar, Gerik dan Bukit Mertajam esok berhubung kesalahan berkaitan dengan pilihan raya, kata Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah, seorang lelaki akan didakwa berhubung tuduhan melakukan khianat dengan api menyebabkan kebakaran ke atas 15 bendera parti politik.

Seorang lagi lelaki akan didakwa di Bukit Mertajam, Pulau Pinang terhadap tuduhan menakutkan secara jenayah terhadap mangsa manakala dua lagi akan didakwa di Gerik, Perak kerana menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan kayu.

Bercakap pada sidang media di Jabatan Peguam Negara di sini hari ini, Tun Abdul Majid berkata sebanyak 262 kes diarahkan siasatan lanjut.

Mengenai kejadian letupan bom di ceramah anjuran Barisan Nasional di Nibong Tebal, Pulau Pinang 24 April lepas, beliau berkata siasatan awal tidak menunjukkan apa-apa kaitan antara tiga suspek dengan kejadian itu.

Tiga lelaki berumur antara 25 dan 41 tahun yang ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes itu, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Mengulas pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, Jumaat lalu di sini, Tun Majid berkata Jabatan Peguam Negara belum menerima kertas siasatan berhubung kejadian itu kerana kes itu baru berlaku. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment