My Add

Tuesday, 21 May 2013

1Malaysia wadah penyatuan nasional: Penganalisis

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13)membuktikan gagasan 1Malaysia masih relevan sebagai wadah penyatuan nasional apabila majoriti rakyat memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN), demikian menurut penganalisis politik.

Pada PRU13 BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.

Mereka berpendapat ramai pihak mempersoalkan sama ada gagasan itu masih relevan atau tidak selepas beranggapan keputusan PRU13 menunjukkan sebahagian besar pengundi kaum Cina memilih utuk menyokong DAP dan sekali gus tidak mahu bersama-sama dengan kaum lain dalam arus nasional.

DAP memenangi 38 kerusi Parlimen selepas dikatakan mendapat sokongan padu pengundi Cina di kawasan bandar, yang sekali gus membuktikan pengundi Cina menolak BN walaupun gabungan itu turut meletakkan wakil dari kalangan kaum Cina.

Penganalisis politik, Dr Ibrahim Ghafar berkata, berdasarkan keputusan PRU13, gagasan 1Malaysia tetap utuh dan relevan sebagai wadah penyatuan nasional.

"Perlu kita ingat bahawa gagasan 1Malaysia tidak melibatkan fahaman atau anutan politik yang berbeza-beza antara rakyat Malaysia. Namun kesan penerapan gagasan itu sejak sekian lama dapat dirasakan apabila majoriti rakyat memilih untuk mengundi kesederhanaan, mengundi BN," katanya di sini, semalam.

Ibrahim berkata, tidak dapat dinafikan bahawa sekali pandang memang gagasan 1Malaysia kelihatan tenggelam dalam ideologi politik khasnya dalam apa yang disebutkan media massa sebagai 'tsunami Cina' apabila pengundi Cina memberi kemenangan besar kepada DAP di banyak kerusi. 

"Namun tidak semuanya begitu kerana saya percaya tidak kurang banyaknya juga sokongan pengundi Cina diberikan kepada BN. Pengundi Cina di kawasan yang dimenangi BN mungkin juga memilih kesederhanaan dan mengundi BN," katanya, sambil menambah bahawa mereka juga mungkin mempertimbangkan semangat 1Malaysia.

Jadi di manakah letaknya semangat 1Malaysia sekarang? Perlukah kerajaan terus mempromosinya di kalangan rakyat?

Menurut Ibrahim, lantaran perbezaan yang telah terjadi dalam polarisasi pengundian pada PRU13 itulah, beliau percaya gagasan 1Malaysia perlu terus diterap dan diperkukuhkan di kalangan rakyat berbilang kaum.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyebutkan bahawa keutamaannya sekarang ialah penyatuan nasional, menggembleng kerjasama semua rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk membina negara bangsa kita. Di sinilah gagasan 1Malaysia perlu lebih ditonjol sebagai wadah penyatuan kaum," katanya.

Merungkai persoalan sama, pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, penyatuan nasional tidak mungkin dapat dicapai sekiranya rakyat tidak keluar daripada kerangka keras anutan politik mereka.

"Perdana Menteri memperkenalkan konsep 1Malaysia untuk membawa masyarakat kembali menghargai dan melaksanakan setiap elemen perpaduan negara tanpa mengambil kira fahaman politik masing-masing. Malah konsep 1Malaysia menyarankan kepelbagaian kaum itu sebagai satu asas kekuatan dan perpaduan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mengekalkan keamanan, keharmonian hidup berbilang kaum dan Malaysia yang terus maju, rakyat harus lebih kuat berpegang kepada gagasan 1Malaysia dan berusaha menolak sebarang percubaan memecahbelahkan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu bersatu padu dan menolak ideologi dan gerakan politik yang mungkin akan menjejaskan keharmonian negara yang dinikmati sekarang.

"Selepas majoriti rakyat membuat pilihan dan memberi mandat kepada BN maka BN harus diberi peluang dan sokongan untuk memperbaiki kelemahan dan meneruskan usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat dalam tempoh lima tahun ini. Rakyat yang cintakan penyatuan harus terus menyokong gagasan 1Malaysia," katanya.

Turut menyokong pendapat itu ialah Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia, A Prakash yang berpendapat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib bertepatan dengan masyarakat majmuk di Malaysia, yang mungkin sukar disatukan melalui fahaman politik tetapi boleh melalui gagasan 1Malaysia.

"Kita perlu bersyukur dengan keamanan yang kita peroleh bukan sahaja diberi kebebasan untuk beragama, malah masih mampu meneruskan budaya masing-masing tanpa sebarang sekatan," katanya.

Beliau berkata, konsep 1Malaysia cuba didakyah oleh pembangkang yang memutar belitkan sesuatu isu dan akhirnya membuatkan rakyat keliru semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka, contohnya 'menolak BN samalah dengan menolak 1Malaysia' sedangkan dalam 1Malaysia tiada kepentingan politik BN pun.

Presiden Pergerakan Pemuda Malaysia, Tan Pei Leong berkata, keputusan PRU13 perlu diterima semua rakyat dengan hati terbuka dan menutup lembaran dan gelumang politik untuk lima tahun akan datang dan sebaliknya kembali bersatu padu meneruskan kehidupan.

"Pada masa sekarang rakyat Malaysia perlu bertenang dan tidak memprovokasi satu sama lain. Berpeganglah kepada gagasan 1Malaysia yang sangat baik ini dan pupuk perpaduan kerana kemerdekaan yang dipertahan sudah 57 tahun ini bukan mudah dicapai," tegasnya.

Sambil meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan menunaikan janji-janjinya dan membuktikan bahawa ia memperjuangkan hak rakyat, beliau kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang tidak menghormati keputusan demokrasi dan enggan menerima keputusan PRU13. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment