My Add

Sunday, 19 May 2013

7 pendaki Everest-Felda tiba di Kem 2

Rohana Man

LUKLA, SABTU, 18 Mei, 2013: Ketujuh-tujuh pendaki Everest-Felda 2013 kini berada di Kem 2 di ketinggian 6,500 meter dari paras laut selepas menempuh pendakian yang panjang mulai pukul 3 pagi (5.15 pagi waktu Malaysia), semalam.

Kesemua mereka yang memulakan pendakian dari Kem Induk Everest (EBC) itu diiringi Sembilan Sherpa dan akan berehat sehari suntuk sebelum memulakan pendakian ke Kem 3, esok. Kem 3 terletak di ketinggian 7,300 meter dari paras laut.

Menurut laporan yang diterima melalui walkie-talkie dari Kem 2, pendaki terawal, Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, tiba pada pukul 3.05 petang, manakala pendaki terakhir tiba pada pukul 6.20 petang semalam.

Kesemua mereka kini dalam fasa terakhir pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest di ketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Dalam temubual yang diadakan sebelum pendakian tersebut bermula, jurulatih Everest-Felda 2013, Zainudin Lot, 37, berkata, pendakian dari Kem 2 ke Kem 3 dijangka mengambil masa kira-kira enam jam dan para pendaki ketika itu sudah mulai menggunakan oksigen.

“Penggunaan oksigen dari Kem 2 bertujuan menjimatkan tenaga, memudahkan pendakian dan melancarkan pernafasan," katanya kepada Mingguan Malaysia di EBC, semalam.

Beliau berkata, setibanya di Kem 3, para pendaki akan berehat beberapa jam sebelum memulakan pendakian ke Kem 4 pada pukul 2 pagi.

Katanya, pendakian ke Kem 4 di ketinggian 7,900 meter dari paras laut dijangka mengambil masa enam jam dan selepas berehat sehingga ke petang, para pendaki akan meneruskan pendakian ke puncak Gunung Everest pada pukul 7 malam, Isnin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment