Empat lelaki didakwa halang tugas polis di hari pengundian
JOHOR BAHRU, SELASA, 21 Mei, 2013: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dan memecahkan cermin kereta milik seorang pemandu teksi pada hari pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
Ng Yong Lin, 33, Sow Tian Min, 27, Kok You Chai, 45, dan S.Rajandran, 44, didakwa secara bersama-sama menghalang tugas Kpl Tenku Mohd Firdaus Tenku Ibrahim di Jalan Jelawat Batu 10, Kampung Poh Chee Ling, Skudai, di sini, pada kira-kira 9.15 malam, 5 Mei lepas.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat mereka juga didakwa melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin bahagian belakang dan cermin tepi kereta Proton Perdana V6 bernombor pendaftaran JJE 8151 milik Abdul Kadir Bahsar di tempat, tarikh dan waktu yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes.
Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Chew Pong Him . - BERNAMA
No comments:
Post a Comment