My Add

Wednesday, 29 May 2013

EU tarik balik sekatan senjata

 *SEORANG anggota Tentera Pembebasan Syria berdiri di atas kereta kebal milik tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad, selepas berjaya menawan bandar Nayrab, pada 23 Mei lalu. - Reuters
BRUSSELS, SELASA, 28 Mei, 2013; Ketua Hal Ehwal Luar, Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton, semalam mengumumkan bahawa EU telah menarik balik embargo senjata yang dikenakan ke atas pemberontak Syria.

Menteri-Menteri Luar EU yang menghadiri satu rundingan di ibu negara Belgium ini, bagaimanapun bersetuju untuk tidak membekalkan senjata kepada pemberontak Syria sehinggalah Ogos ini bagi memberi laluan kepada rundingan damai yang diusahakan oleh Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Britain dan Perancis menjadi negara paling bersungguh-sungguh mahukan sekatan itu ditarik balik dengan Setiausaha Luar Britain, William Hague menyifatkan keputusan itu sebagai 'mesej tegas' kepada kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

"Keputusan itu memberi kita kebebasan pada masa depan untuk bertindak balas terhadap situasi yang semakin memburuk atau untuk menolak rundingan dengan Bashar," katanya.

Namun, beberapa sekatan lain ke atas Syria, termasuk sekatan kewangan, larangan perjalanan dan pembekuan aset, akan ditangguhkan selama setahun ekoran kebimbangan pakej sekatan itu akan gagal jika isu senjata tidak mendapat kata sepakat.

"Sejak awal semalam, kami bimbang satu sekatan pun mungkin tidak akan dicapai dan menyebabkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pakej sekatan masih tidak diluluskan.

"Pada dasarnya pakej sekatan yang masih diusahakan itu adalah penting untuk memberi mesej bahawa Eropah menentang keganasan," kata Menteri Luar Belanda, Frans Timmermans.

Negara-negara EU akan memutuskan sendiri mengikut dasar masing-masing berhubung keputusan membekalkan senjata kepada Pakatan Kebangsaan Syria atau 'peralatan yang mungkin boleh digunakan untuk pertahanan dalaman' dan melindungi orang awam, menurut kenyataan bersama Menteri-Menteri Luar EU. - DPA/UTUSAN

No comments:

Post a Comment