![]() |
*MOHD.. Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Datuk Shuaib membantu menyelesaikan keperluan penduduk pada Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Pengundi BN, PRU-13 di Semporna, Sabah, semalam. |
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan menganjurkan perhimpunan haram hanya akan membantutkan matlamat memajukan negara.
Ini kerana katanya, pembangkang telah berjanji untuk membawa pembangunan seperti membina sekolah dan jalan raya meskipun tanpa bantuan UMNO atau kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kempen-kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
"Saya dengar dalam ucapan (kempen) mereka, mereka kata tanpa UMNO (BN), mereka juga boleh buat sekolah, buat jalan raya. Sekarang binalah jalan, tunaikan kata-kata itu dan janji yang dibuat kepada rakyat.
"Jangan bergantung semata-mata kepada kerajaan Pusat dan membuang masa dengan perhimpunan haram yang langsung tidak memberi manfaat," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Pengundi BN, Pilihan Raya Umum ke-13 di kediamannya di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, masyarakat luar bandar akan terus dibangunkan melalui peningkatan prasarana asas, diadun dengan kegiatan ekonomi yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan khasnya untuk golongan belia.
Menurut beliau, masyarakat luar bandar juga perlu diberi ganjaran setimpal atas sokongan padu kepada kerajaan BN sehingga terus kekal memerintah.
"Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib khususnya akan menunaikan segala yang terkandung dalam Aku Janji BN meliputi pembuatan jalan-jalan, bantuan perumahan dan pelbagai lagi kemudahan dan kesenangan yang dijanjikan kepada rakyat.
"Di samping itu, kita juga akan merangka program-program penyediaan peluang pekerjaan dan peluang ekonomi di kawasan luar
bandar untuk terus diperbanyakkan bagi memastikan mereka tidak berhijrah ke bandar,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Shafie berjanji akan terus menjadi 'jambatan' kepada penduduk luar bandar bagi memastikan rayuan dan rintihan didengar terus oleh pucuk pimpinan.
"Saya bangga jadi 'Menteri Kampung', ini untuk kali kedua dan saya akan terus berusaha untuk memastikan segala agenda masyarakat kampung dapat ditingkatkan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment