My Add

Thursday, 30 May 2013

Halang mesyuarat Seniman diputus 31 Mei

 *JOHAN Raja Lawak dan Ozlyn Wati hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada pihak defendan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mei, 2013: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 31 Mei ini keputusan permohonan injunksi lima penggiat seni bagi menghalang Mesyuarat Agung ke-15 Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang bakal diadakan pada Sabtu ini.

Peguam, Yusfarizal Yussoff yang mewakili kelima-lima penggiat seni itu memaklumkan, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilap Yop menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamar hakim hari ini.

Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) selaku pihak plaintif memfailkan permohonan injunksi tersebut pada 22 Mei lalu.

Seniman dan tujuh lain yang dinamakan sebagai pihak defendan diwakili peguam-peguam, Zambri Idrus dan Zaharin Idrus memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan terbabit pagi ini.

Yang turut hadir, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali sebagai Johan Raja Lawak dan isteri, Rozlinawaty Ismail atau Ozlyn Wati bagi memberi sokongan kepada pihak defendan.

Yusfarizal ketika ditemui selepas prosiding itu memberitahu, pihaknya memfailkan permohonan tersebut atas alasan saman induk masih belum selesai dan sebarang keputusan mahkamah akan mempengaruhi pemilihan yang akan diadakan pada mesyuarat agung tersebut.

Notis mesyuarat agung tersebut dikeluarkan pada 14 Mei lalu.

Peguam terbabit turut memaklumkan pihak defendan membantah permohonan terbabit atas alasan mengikut perlembagaan persatuan terbabit, mesyuarat agung tersebut perlu diadakan sebelum Mac.

Pada 25 Januari lalu, kesemua plaintif memfailkan saman dengan menamakan Seniman dan bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana, Wafa A. Kadir, Rozaidi Abdul Jamil lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) sebagai defendan pertama hingga kelapan.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden (kini presiden) manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.

Plaintif antaranya menuntut pengisytiharan antaranya mesyuarat agung persatuan tersebut kali ke-14 pada 26 Mei tahun lalu, sebagai terbatal dan tidak sah.

Selain itu, pihak plaintif turut menuntut satu perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat.

Pihak plaintif juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada 2 hingga 4 Oktober depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment