My Add

Thursday, 30 May 2013

Keputusan JKR dipersoal

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
 
 
KUALA TERENGGANU, RABU, 29 Mei, 2013: Kerajaan negeri mempersoal keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) membenarkan penggunaan struktur besi bagi anjung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang sekadar mampu bertahan selama 10 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) berkata, keputusan itu menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan apatah lagi melibatkan premis awam.

Ahmad yang mendedahkan hasil siasatan awal kejadian bumbung masjid yang runtuh itu turut meminta JKR menyiasat secara terperinci perkara berkenaan dan kajian menyeluruh terhadap premis-premis lain dalam memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Saya rasa cara itu tidak betul kerana mustahil bangunan awam seperti masjid atau sekolah hanya ada jaminan 10 tahun dan selepas itu berkemungkinan runtuh, jadi orang awam kena tanggung risiko, sepatutnya bumbung kena tahan lama, sampai 50 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Ahmad mengulas perkembangan terbaharu kejadian runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas pada 20 Mei lalu ketika enam jemaah masih berada di dalam masjid selepas selesai solat isyak.

Masjid yang mula digunakan pada 2008 itu dibina dengan kos dianggarkan sebanyak RM1.7 juta.

Insiden runtuhan itu merupakan kejadian kedua melibatkan masjid di negeri itu selepas Masjid Batu Putih, dekat sini 3 Oktober 2009.

Menurut Ahmad, beliau turut dimaklumkan terdapat sekolah dan beberapa buah lagi masjid menggunakan bahan sama dengan Masjid Kampung Binjai Kertas dan berharap JKR dapat memantau situasi sebenar.

"Kita akan tunggu laporan lebih terperinci daripada JKR tentang kejadian ini dan saya harap mereka dapat kaji semula siasatan awal yang memaklumkan material bumbung ini dijamin 10 tahun sahaja," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment