My Add

Tuesday, 21 May 2013

KWSP tambah AS$1.30 bilion pelaburan luar negara pada suku pertama 2013

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pelaburan tambahan sebanyak AS$1.30 bilion dalam ekuiti, sukuk dan hartanah global pada suku pertama 2013.

Pelaburan itu ialah sebahagian daripada strategi pempelbagaiannya untuk meluaskan pelaburan ke luar negara.

Dana simpanan persaraan itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata Kementerian Kewangan meluluskan sehingga 23 peratus daripada aset pelaburannya dalam pasaran luar negara.

"Jumlah aset pelaburan kini melepasi setengah trilion ringgit dan terus meningkat secara purata 8-9 peratus setahun," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata, kekangan dalam pasaran domestik menyebabkan KWSP perlu meneroka pelaburan luar negara yang bersesuaian dengan program pempelbagaian jangka panjang, untuk membina portfolio pelaburan yang lebih seimbang mengikut selera risikonya.

Shahril juga berkata, KWSP sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap pilihan pelaburan bagi memastikan pelaburannya berada dalam profil risiko pulangannya.

Mengulas mengenai prospek bagi sepanjang tahun, beliau berkata adalah cukup mencabar bagi KWSP untuk mengekalkan prestasi pelaburan semasa bagi suku-suku tahun akan datang.
"Ini memandangkan faktor luaran yang sukar dijangka seperti kelembapan ekonomi global berterusan dan persekitaran kadar faedah yang rendah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment