My Add

Saturday, 18 May 2013

Pelan strategik Pengajian Tinggi diteruskan di bawah penggabungan dua kementerian

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) akan terus dilaksana dan diperkukuh di bawah penggabungan dua kementerian; iaitu Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengajian Tinggi) kementerian itu, Datuk Mahamed Hussain berkata, PSPTN yang disusun rapi dengan tumpuan kepada aspek keboleh pasaran dan keboleh dapatan graduan perlu diteruskan.

"Apa yang pasti agenda pengajian tinggi akan mendapat fokus yang sama seperti sebelum ini kerana ia adalah Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang penting dalam kementerian," katanya pada majlis prapelancaran Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di sini, hari ini.

Mahamed juga yakin PSPTN akan terus diperkasa di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I.

Menteri II kementerian berkenaan ialah Datuk Seri Idris Jusoh dan timbalan-timbalan menteri, Datuk Mary Yap dan P Kamalanathan.

Mengenai K3G, anjuran Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi bersama Media Prima Bhd, Mahamed berkata, sebanyak 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 300 majikan agensi kerajaan dan swasta.

Karnival tiga hari bermula 14 Jun ini, akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Antara majikan yang mengambil bahagian ialah Majlis Amanah Rakyat (NARA), Tekun Nasional, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), SME Corp, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maybank Bhd.

Sesi temuduga secara terus turut diadakan pada hari berkenaan dan graduan digalakkan untuk membawa bersama resume, salinan sijil dan dokumen berkaitan.

Mahamed berkata, lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir, meliputi graduan lepasan ijazah, diploma atau individu yang ingin menukar pekerjaan, mendapatkan latihan kerjaya dan peluang keusahawanan.

Katanya, pengunjung boleh mula melayari portal rasmi K3G di www.k3g.com.my untuk mendaftar dan memasukkan butiran diri khususnya mengenai kelulusan, kemahiran dan pengalaman kerja.

"Butiran maklumat itu akan diberikan kepada majikan untuk memudahkan mereka berhubung terus dengan calon," katanya. - BERNAMA'

No comments:

Post a Comment