My Add

Thursday, 30 May 2013

Pelantikan Exco: Tujuh kekal, tiga muka baru, dua gugur

Iskandar 
SHAH ALAM, RABU, 29 Mei, 2013: Istiadat pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Alam Shah, Klang dekat sini esok dijangka menyaksikan tiga muka baru yang masing-masing mewakili Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak daripada Pas, Sallehen Mukhyi; ADUN Sementa daripada PKR, Dr. Daroyah Alwi dan ADUN Kota Alam Shah daripada DAP, V. Ganabatirau.

Kesemua ADUN berkenaan dilihat menghadiri raptai istiadat pelantikan Exco di Istana Alam Shah hari ini. Turut dilihat menyertai raptai ialah tujuh ADUN yang merupakan Exco sebelum ini iaitu tiga daripada Pas, DAP (2) dan PKR (2).

Tiga ADUN daripada Pas ialah ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad yang sebelum ini memegang portfolio Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan; ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan) dan ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi (Adat Melayu, Belia dan Sukan).

Dua ADUN daripada DAP pula ialah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim (Speaker Dewan Undangan Negeri) dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah (Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram).

ADUN daripada PKR pula ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi) dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar).

Berdasarkan senarai tersebut, dua Exco sebelum ini dijangka digugurkan iaitu ADUN Kota Anggerik daripada PKR, Dr. Yaakob Sapari (Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan) dan ADUN Seri Andalas, Dr. A. Xavier Jayakumar (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin).

Seorang lagi ADUN iaitu ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dijangka dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri menggantikan Chang Khim yang akan menjadi Exco.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam pula tidak kelihatan di Istana Alam Shah.

Sementara itu, pemberita yang menunggu di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selepas dimaklumkan satu mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai potfolio Exco yang bakal dilantik esok hampa apabila diberitahu mesyuarat itu dibatalkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Daroyah yang ditemui pemberita di lobi.

Menurut Daroyah, beliau menunggu selama satu jam sebelum diberitahu mesyuarat itu terpaksa dibatalkan berikutan terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Tidak semua Exco yang datang menunggu mesyuarat ini dan kita mungkin hanya mengetahui portfolio masing-masing selepas istiadat angkat sumpah esok," katanya.

ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail yang turut ditemui selepas itu pula memberitahu, buat masa ini semua yang dilantik menjadi Exco masih belum pasti mengenai portfolio masing-masing.

"Kita tidak cakap tidak tahu. Tetapi semuanya masih belum dapat ditentukan lagi. Tunggu sehingga istiadat angkat sumpah dan mesyuarat dijalankan dengan Menteri Besar. Mungkin juga terdapat pertukaran portfolio dan mungkin ada yang akan mengekalkan portfolio masing-masing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment