Siasatan polis bertaraf dunia
Oleh SUWARNI MOKHTAR
SHAH ALAM, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Cara pihak polis mengendalikan dan menjalankan siasatan sehingga membawa kepada penangkapan kesemua tertuduh dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya mendapat pujian daripada seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tidak cukup dengan pujian, Hakim Datuk Akhtar Tahir yang mendengar perbicaraan kes itu selama lebih 100 hari, turut menyifatkan bahawa siasatan pihak polis dalam kes itu bertaraf dunia.
"Walaupun siasatan yang dijalankan dikatakan tidak mengikut prosedur 100 peratus namun mana mungkin sesuatu siasatan itu boleh mencapai 100 peratus seperti dalam buku teks.
"Namun begitu, pihak polis telah menjalankan satu siasatan yang terperinci. Mereka telah menjalankan satu penyiasatan bertaraf antarabangsa. Pihak polis perlu diberi penghormatan kerana menyelesaikan kes ini," katanya.
Dalam kes tersebut, penglibatan pihak polis merangkumi ramai pegawai dan anggota daripada pelbagaI unit dan negeri antaranya ialah Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur; dan Seksyen Jenayah Komputer Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Yang turut serta ialah Unit Forensik dan Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9) IPK Selangor; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pasukan polis yang ditugaskan untuk mencari bahan-bahan bukti di tali air dan sungai pula didatangkan dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang .
Dalam masa yang sama, Hakim Akhtar turut memuji sikap pihak pendakwaan dan pembelaan yang membantu mahkamah dalam kes itu.
Beliau turut menyifatkan cara pengendalian kes oleh kedua-dua pihak itu bertaraf antarabangsa.
Ujarnya, pihak pembelaan begitu bersemangat dalam membuktikan anak-anak guam mereka tidak bersalah dan mereka telah menjalankan tugas dengan begitu mengagumkan.
Hakim Akhtar turut menyifatkan pihak-pihak yang terlibat adalah sangat profesional dan merupakan litigasi terbaik yang pernah beliau lihat.
Sementara itu, barisan pembelaan ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan yang mensabitkan anak-anak guam mereka dengan pertuduhan tersebut. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment