My Add

Thursday, 30 May 2013

TNB peruntuk RM240j bantu golongan miskin


 *ADELINA Iskandar (dua kiri) Zulkffli Ab. Rahaman (dua kanan) beramah mesra dengan Kang Eng Kiok (kanan) dari Kampung Cina, Jalan Pantai Cahaya Bulan pada majlis Penyerahan Rumah PMR di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, RABU, 29 Mei, 2013: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM240 juta bagi membantu golongan tidak berkemampuan termasuk warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) sepanjang tahun ini.

Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat dan Komnunikasi) TNB, Adelina Iskandar berkata, peruntukan itu meliputi bantuan membaiki rumah bagi memberi keselesaan kepada golongan tersebut.

Menurut beliau, TNB memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi membaiki rumah golongan itu yang terpilih di seluruh negara dengan harapan mereka dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan selesa.

"Bantuan itu juga meliputi semua kaum selagi mereka berada di bawah kategori tidak berkemampuan, warga emas dan OKU," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Rumah PMR kepada warga emas, Kang Eng Kiok, 73, dari Kampung Cina, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar TNB Kelantan, Datuk Zulkffli Ab. Rahaman.

Adelina memberitahu, kini terdapat sebanyak 11 buah rumah di bawah PMR sedang dalam proses dibaik pulih sejak projek itu dimulakan awal tahun ini.

Kata beliau, pihaknya akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada golongan kurang berkemampuan menerusi program khidmat sosial tersebut pada masa depan.

Sementara itu, Eng Kiok ketika ditemui pemberita berterima kasih atas bantuan TNB tersebut.

"Pendapatan saya tidak menentu menyebabkan saya tidak mampu membaiki rumah ini. Mujurlah TNB menghulurkan bantuan sekali gus mengurangkan beban saya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment