My Add

Saturday, 1 June 2013

Aimi sesak nafas sebelum ajal

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

 *MOHAMAD Sahak (dua dari kiri) dan isterinya, Maimunah Ismail (dua kanan) tidak dapat menahan sedih sambil ditenteramkan ahli keluarga dan anaknya, Abu Suffian Mohammad (tengah) sebaik sahaja keluar dari bilik mayat untuk menuntut jenazah anak perempuannya, Aimi Hamizah Mohamad (gambar kecil) di Hospital Melaka, semalam.
MELAKA, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemui mati dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini kelmarin dipercayai mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Aimi Hamizah Mohamad ditemui mati oleh sekumpulan remaja kampung yang bermain bola sepak di kawasan lapang berhampiran lokasi kejadian pada pukul 7 malam.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, remaja itu dikatakan tidak pulang ke rumah selepas tamat kelas mengaji al-Quran pada pukul 7.40 malam Isnin lalu ditinggalkan oleh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai kekasihnya di kawasan itu selepas gagal memberi bantuan kecemasan.

Susulan penemuan mayat Aimi Hamizah kelmarin, remaja lelaki yang ditahan pada pukul 3.30 petang semalam telah diambil keterangan dan direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

"Menurut keterangan remaja lelaki itu, dia dan Aimi Hamizah pergi ke kawasan itu menaiki sebuah motosikal milik keluarganya kira-kira pukul 9 malam.

"Remaja lelaki itu mendakwa, rakannya itu mengalami sesak nafas dan dia cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkannya.

"Akibat panik, dia kemudian meninggalkan rakannya bersendirian di kawasan kejadian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, remaja perempuan itu ditemui terlentang atas sekeping papan lapis dan masih lengkap berpakaian baju kurung warna merah jambu ketika keluar rumah pada hari kehilangannya.

Menurut Gunarajan, siasatan awal mendapati, tiada sebarang kesan kecederaan malah barang kemas yang dipakai masih ada di tubuh remaja itu.

Katanya, berikutan tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa termasuk kesan rogol, polis percaya bahawa remaja perempuan itu pergi ke kawasan itu secara sukarela.

Polis turut menemui sebuah beg mengandungi dua buku dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik remaja perempuan itu yang ditinggalkan di sebuah surau berhampiran.

Bagaimanapun, Gunarajan berkata, bedah siasat yang dijalankan pagi ini gagal mengesan punca sebenar kematian Aimi Hamizah berikutan keadaan mayat yang membusuk dan mula mereput.

Katanya, polis akan menyiapkan kertas siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment